Nilai Sebuah Kehidupan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
 
Adakah dinamakan kehidupan jika tiada gembira dan duka, jaya dan gagal, seronok dan sunyi, tenang dan gelisah serta apa jua rasa yang menyenangkan dan meresahkan kita?

   Tiada seorang insan pun yang terkecuali daripada rasa-rasa ini. Hatta seorang gila pun tetap melaluinya walaupun akalnya tidak lagi memberi respons yang normal terhadap rasa-rasa ini. Segala rasa inilah yang mewarnai insan jua kehidupannya. Segala rasa yang menyenangkan itu pada insan merupakan suatu kenikmatan. Segala rasa yang tidak menyenangkan itu pula suatu musibah.

   Namun, apalah gunanya gembira jika diri jauh dari Tuhan?  Apalah gunanya berjaya andai Tuhan membenci diri? Apalah gunanya berduka andai tidak ingat pada Tuhan? Apalah gunanya resah jika tidak kembali kepada Maha Pemberi yang memberi ketenangan?

   Nilai hidup ini secara tepatnya bergantung kepada soal siapa kita pada Tuhan. Walaupun pujian manusia menggunung tinggi tetapi di sisi Allah hina dan keji, tetap tiada gunanya. Sebaliknya andai seluruh manusia mencaci maki dan membuang kita ke tepi, tetapi pada Allah mulia dan terpuji, itulah nilai kehidupan yang paling tinggi. Tinggi rendah nilai hidup ini segalanya menurut penilaian Ilahi.

Begitulah firman Tuhan mengingatkan insan yang beriman;

    "Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah bersedih. Kamulah yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman ."  (Surah ali Imran: 139)

   Allah menjelaskan kepada insan bahawa sesiapa yang mahukan diri dan hidupnya bernilai pada-Nya mestilah tetap beriman dalam apa jua keadaan; waima lemah mahupun sedih. Mendahulukan penilaian iman, itulah yang Allah ajarkan bukannya menurut rasa hati diri semata-mata. Manusia tidak akan mampu membunuh keutamaan ini dengan apa cara sekalipun.

   Saat ini,pilihan di tangan kita. Terpulang kepada kita sama ada mahukan kehidupan yang tinggi nilainya ataupun yang rendah sekali nilainya.

Wallahu'alam.


Oleh: Mohamad Hamiduddin Bin Ismail  | http://bicaramusafirv1.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 
Laman Rasmi I-Tech © 2012 | Designed by Cheap TVS, in collaboration with Vegan Breakfast, Royalty Free Images and Live Cricket Score