Salah Nilai Maka Salah Faham

Oleh : Mohamad Hamiduddin bin Ismail | http://bicaramusafirv1.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim

Seorang sahabat berada di sisi penulis tatkala penulis sedang menyuarakan sedikit ulasan berkaitan fitrah insan iaitu 'cinta dan nikah' di laman Muka Buku. Namun, setelah beberapa jam selepas itu sahabat saya itu bertanya kehairanan,

"Aku peliklah dengan kau ni, kau tulis benda lain padahal kau fikir benda lain...".

"Apa yang peliknya, biasalah tu... bukan ke kalau dalam kuliah ini situasi biasa? ", saya bertanya sekadar ingin melihat apa respon sahabat itu.

"Kuliah lain,kuliah tu sebab mengantuk... tapi kau ni otak tengah fresh pun tangan boleh tulis topik lain sedangkan otak kau tengah fikir topik lain..." , respon sahabat saya ketika saya sedang membaca hujah ilmiah Encik Rafizi Ramli berkenaan 'Tuntutan Mansuh PTPTN' dan Bersih 3.0. Kemas hujahnya, tanpa mainan emosi.

"Biasalah... kita ni tak semestinya perlu fikirkan satu-satu perkara dalam satu masa , kalau kita mampu fikirkanlah banyak perkara dalam satu masa, itukan memang kekuatan yang perlu ada pada setiap individu muslim? "

"Yalah... betullah tu memang satu 'added value' kalau mampu fikirkan banyak perkara dalam satu masa. Tapi kau tak bimbang ke orang kata selalunya apa yang kita tulis,suarakan, itu semua menunjukkan apa yang sebenarnya kita fikirkan? " , sahabat saya membawa satu persoalan baru.

" Alah..biasalah tu manusia. Apa yang kita buat mestilah akan ada orang yang perhatikan dan menilai. Tapi mereka bukannya 24jam bersama kita dan tahu apa yang kita lakukan dan fikirkan. Cukuplah kita sampaikan kebenaran Islam. Kalau nak dinilai dengan hanya sekilas tulisan dan ucapan, pasti ramai sudah yang jadi baik,siap boleh jadi pendakwah lagi, cuba kau tengok dalam Facebook tu berapa ramai bagi tazkirah, kongsi ilmu, lantang memberi pendapat tetapi apabila kembali kepada realiti kehidupan pasif je kan? ", saya memberi respons dengan niat menjelaskan.

"Memang ramai macam tu pun. Tapi tak salah kan? Cumanya... entahlah aku terfikir ke tahap manalah Islam mampu dibawa jika masih dengan budaya pasif macam tu.." ,giliran dia pula memberi pendapat.

"Ya tak salah,jangan halang sama sekali.Cara itu juga boleh jadi titik permulaan untuk bina peribadi muslim, tapi tak samalah dengan yang melalui pembinaan peribadi di alam realiti ni...", saya cuba melihatkan kepada sahabat itu betapa Islam ini sebenarnya bergerak di alam realiti.

" Habis tu macam mana nak nilai apa yang seseorang itu fikirkan ? ", dia kembali bertanya.

" Nilailah apa yang zahirnya sahaja, itupun kita kena ingat,apa yang kita nilai itu dalam keadaan 50% betul dan 50% salah. Jika salah menilai, jadilah salah...",saya mula bercakap soal konsep walaupun saya cuba elak sebenarnya kerana tidak semua orang mampu memahami konsep,kebanyakannya faham melalui contoh.

" Oh..aku faham dah sikit-sikit tentang tu.Tapi, kadang-kadang aku hairan juga tengok orang yang baru kenal tapi boleh saling memahami..", dia menyuarakan kehairanannya dengan kepelbagaian kehidupan ini.

" Ermm...apa yang kau maksudkan sebenarnya? Aku tak berapa faham..", saya berterus terang.

"Macam ni, apabila kita nak saling memahami kita kena saling ada penilaian yang betul kan, barulah persefahaman itu terbentuk..aku cuma hairan lihat orang-orang yang mulanya selalu gaduh,lepas suatu tempoh diorang boleh pula saling bersefahaman.. ", dia menjelaskan kepada saya yang agak perlahan dalam berfikir.

" A'aa biasalah tu mesti saling ada penilaian yang betul terhadap satu sama lain baru senang bina persefahaman. Mungkin mulanya si A menilai si B begini, dan si B menilai si A begitu tapi sebenarnya tidak. Apabila masing-masing sedar mereka salah menilai daripada situlah persefahaman mula dibentuk....mereka kongsi nilai, "saya menyokong pendapat sahabat saya itu.

"Tapi kan..orang yang 'faham' Islam ni mereka lebih cepat bina persefahaman, jiwa mereka dekat...sebab nilai yang mereka kongsi ialah nilai agama, kadang-kadang tu first time jumpa dekat traffic light siap boleh bertanya nama dan bersalaman lagi,padahal bukan kenal pun. Ada juga kadang-kadang tu jalan sebelah dan tengok gaya jalan pun dah boleh rasa ni orang yang 'faham' agama..", saya berkongsi ketakjuban terhadap kehebatan aturan Allah.

"Baru aku sedar memang lelaki ada 9 akal 1 nafsu dan perempuan ada 1 akal 9 nafsu...",sahabat itu tidak semena-mena membuka persoalan baru, saya juga tidak pasti apa pula yang dia fikirkan.

" Ermm...apa kau fikir? Tentang 9 akal 1 nafsu tu tak benar sebenarnya tu. Memanglah lelaki lebih kuat mindanya jika digunakan dengan betul dan perempuan fitrahnya mudah dipengaruhi emosi tetapi tak adalah sampai 1 nisbah 9 atau 9 nisbah 1, itu teruk sangat tu. Cuba kau baca penjelasan Dr. Basit Abdul Rahman tentang hal ni.." , saya membukakan untuknya laman web Dr. Basit(http://www.abuanasmadani.com/?p=1183).

Tiba-tiba sahaja suasana menjadi diam, saya terdiam dan dia pun terdiam.Hanya kedengaran bunyi kipas. Lantas, kami berdua tiba-tiba terketawa dan saling berpandangan.

"Kau dengar apa yang aku dengar ? ", sahabat saya bertanya sambil menahan ketawa.

"Confirmlah aku dengar... mesti kau fikir aku fikir nak makan dari tadi kan? ", saya menduga apa yang sahabat saya itu fikirkan kerana sebenarnya perut saya yang berbunyi.

"Perut kau nyanyi lagu apa tadi tu? ", soal sahabat saya sambil masih menahan ketawa tanpa menjawab soalan yang saya tanya.

"Perut aku tak nyanyilah...perut aku baca doa makan dah...jom..jom pergi makan, aku dah lapar nih..".

Perbincangan spontan kami terlerai begitu sahaja tanpa sempat meletakkan kata kesimpulan kepada sembang-sembang santai itu. Kini, terpulanglah kepada pembaca untuk meletakkan kesimpulan.Lazimilah perbincangan ilmiah dan jangan sehingga terlupa makan. Wallahu'alam.

 
Laman Rasmi I-Tech © 2012 | Designed by Cheap TVS, in collaboration with Vegan Breakfast, Royalty Free Images and Live Cricket Score